Makalah ini memaparkan salah satu pengalaman warga New Zealand yang melawat Malaysia beberapa tahun yang lalu.
Al’kisah, semasa penulis berjalan-jalan di kota raya Wellington, New Zealand, penulis disapa oleh seorang pemuda kiwi separuh abad lagaknya dengan sapaan, “Apa khabar?” Lalu berlakulah perbualan berikut: Penulis tersentak lalu menjawab, “Baik.” Lalu penulis memberhentikan langkah perjalanan dan menghampiri penyapa berkenaan. Penyapa berkenaan bertanya,“Dari Malaysia?” “Ya, dari Malaysia.” Jawab penulis selamba tetapi agak aneh kerana penyapanya berkulit puteh tetapi menegur dalam bahasa Melayu. “Saya pernah ke Malaysia selama lapan minggu, jalan-jalan mengeliling negeri-negeri di Malaysia. Ada masa bersama saya hari ini?” dia bertanya. Untuk mendapat kepastian maksudnya kerana tidak mahu berlaku salah faham, penulis bertanya kembali dalam bahasa Inggeris, “What do you mean?” (Apa maksud awak?) Dia memberi penjelasan dalam bahasa Melayu dengan nada jelas tetapi rentaknya lebih perlahan, lagaknya seperti memahami bahawa saya dalam tidak kententuan “Adakah awak mahu berjalan-jalan bersama saya. Saya ada masa, saya mahu jadi pemandu pelancong awak.” Kesungguhannya menggunakan bahasa Melayu menyebabkan penulis merasa sedikit malu dan segera memberi maklum balas, “Ya, boleh, boleh…memang saya ingin mengeliling Wellington hari ini”. Kemudian, kami menghabiskan masa separuh hari berjalan-jalan dalam kota Wellington dan berbual-bual tentang pengalamannya melawat Malaysia. Beliau menggunakan bahasa Melayu dalam kebanyakan bicaranya dan dalam hal-hal yang beliau tidak dapat ungkapkan dalam bahasa Melayu, beliau menggunakan bahasa Inggeris. Begitu juga penulis, jika beliau tidak memahami perbualan bahasa Melayu penulis, penulis menggunakan bahasa Inggeris.
Apa yang menarik perhatian penulis pada beliau adalah kesungguhan dan kebolehan Encik Nigel menggunakan bahasa Melayu. Beliau mampu mengguna bahasa Melayu untuk bercerita dengan jelas tentang pengalamannya semasa di Malaysia. Mengikutnya, bahasa Melayunya semakin lemah kebalakangan ini kerana tidak berpeluang menggunakannya. Mengapa dan bagaimana beliau belajar bahasa Melayu menarik juga untuk diketahui. Hal yang “menakjubkan” ialah walaupun sesingkat lapan minggu berada di Singapura, Malaysia dan Brunei (negara yang penduduknya boleh berbahasa Melayu) beliau “berani” membuat kesimpulan terhadap sikap orang Malaysia dalam hal penggunaan bahasa. Kata beliau secara sinis, “Kebanyakan Orang Malaysia Tidak Suka Berbahasa Melayu dan Beranggap Bahasa Inggeris Lebih Superior”.
Persoalannya, sejauh mana benarnya tanggapan beliau terhadap hal tersebut? Ikuti perbincangan hal ini dalam Majalah DEWAN BAHASA OGOS 2007 dan Bahagian Kedua SEPTEMBER 2007…